SETIAP rakyat Malaysia yang rasional dan prihatin pasti merasa bimbang dengan kejadian jenayah yang sering berlaku.
Setiap kali satu jenayah ganas berlaku terdapat kemarahan orang ramai diikuti dengan perbuatan menyalahkan pihak-pihak tertentu dan diikuti dengan penafian daripada pihak bertanggungjawab terhadap kejadian tersebut.
Soalnya, adakah kita sebagai kerajaan dan rakyat telah melakukan yang secukupnya untuk menangani punca dan isu yang menyebabkan perlakuan jenayah.
Memerangi keganasan adalah satu hal, tetapi mencari punca asas adalah satu perkara lain. Mencegah jenayah adalah lebih penting daripada membanterasnya.
Tidak dapat dinafikan bahawa penagihan dadah adalah punca utama terhadap pelbagai kejadian jenayah terutamanya kes ragut, pecah rumah dan lain-lain.
Jika masalah penagihan dadah tidak dapat diatasi, banyak jenayah yang bersangkutan dengan penagihan dadah akan terus berlaku.
Kecuali kita dapat membantu menyediakan peluang pekerjaan kepada bekas penagih dadah yang telah dipulih untuk menangani kesan kegawatan ekonomi, sebahagian mereka yang lain akan melakukan semula jenayah kerana desakan hidup.
Perbuatan jenayah ganas bukanlah satu budaya masyarakat kita dan kita perlu mengenal pasti punca-punca dan cara untuk mengatasinya.
Sekiranya peningkatan jenayah adalah satu harga yang perlu kita bayar untuk kemajuan dan pembangunan, maka kita perlu mengikis aspek negatif pembangunan ini. Kebimbangan utama kita ialah wujudnya pelbagai penyakit sosial yang menimpa anak-anak belasan tahun dan remaja kita.
Ibu bapa tidak boleh berlepas tangan terhadap perkembangan yang tidak sihat ini dan perlu melaksanakan tanggungjawab mereka untuk membimbing anak-anak mereka supaya membesar sebagai insan yang baik dan sihat.
Anak-anak yang mudah dilentur adalah pada peringkat mereka sedang belajar untuk membezakan baik dan buruk. Sekiranya mereka tidak begitu bijak untuk membezakan di antara yang betul dan salah, mereka akan mudah terjebak dengan perkara yang tidak baik dan membawa kesan buruk.
Bimbingan ibu bapa adalah amat penting pada peringkat pembelajaran ini. Mereka perlu menyemaikan nilai-nilai murni kepada anak-anak dan ini harus bermula dari rumah yang bahagia. Formula yang sangat penting ialah satu keluarga yang bahagia dan sihat adalah asas yang paling utama dalam pembentukan kanak-kanak yang gembira, berfikiran positif dan mempunyai harga-diri.
Adalah tidak mencukupi bagi ibu bapa hanya menyediakan makanan, tempat tinggal dan pakaian kepada anak-anak. Mereka perlu membentuk moral dan elemen-elemen kebijaksanaan dalam diri anak-anak mereka supaya dapat membuat pertimbangan dan pilihan yang betul.
Nilai sejagat terhadap integriti dan prihatin telah membuktikan kejayaannya sejak berabad-abad yang lalu dan tidak ada sebab kita menyingkirkannya pada abad teknologi maklumat ini. Malah kita lebih memerlukannya sekarang. Kita tidak perlu panik dalam menangani penyakit sosial. Tetapi kita tidak boleh menangguhkannya kepada hari esok sedangkan kita boleh melakukannya pada hari ini.
Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia menyeru semua rakyat Malaysia untuk membangunkan satu budaya antijenayah dan menjadikan keselamatan sebagai cara hidup.